Thursday, December 3, 2009

DIKEPUNG LALAT SEPANJANG DI MEKAH !



27 November lalu , saya dijemput untuk bersama berkongsi sedikit pengalaman dalam Slot Khusus Aidiladha dalam program Nasi Lemak Kopi O , TV9 ( program live pertama saya). Terasa segan kerana saya bukanlah seorang yang banyak pengalaman di sana , jika dibandingkan dengan tuan-tuan guru dan para ustaz yang lain. Tetapi semoga sedikit pengalaman beberapa kali menunaikan umrah dan haji pada 2005 serta sepanjang berkursus Latihan Imam Dan Khatib anjuran Muslim World League selama setahun bermula September 2007 yang lalu, bolehlah dikongsi , moga ada yang dapat dimanfaatkan.

Seorang makcik , Siti ( nama samaran ) berkongsi pengalamannya . "Ustaz , kami ditempatkan berlapan di hotel di Mekah . Setelah 6 orang dah keluar , ada yang ke Madinah dan ada yang pulang , saya tinggal berdua dengan Ros ( samaran ). Setiap kali saya masuk ke bilik kami, saya dapati ramai lalat yang menghurung katil Ros . Bahkan tubuhnya juga dikelilingi lalat"

"Katil makcik ?? " tanya saya penuh minat.

"Tu la ustaz , saya selalu berdoa dalam hati , Ya Allah , janganlah lalat-lalat tu datang dekat aku..."

"Habis, datang tak ?? " suspen pula makcik ni.

"Alhamdulillah , lalat tak datang dekat katil makcik. Ros selalu tanya makcik , lalat tak datang ke??. Ros beli alat penghalau lalat , lalu dipukulnya lalat-lalat itu , tetapi tetap memenuhi katilnya...Saya kesian juga melihat keadaan dia , tapi tiada apa yang boleh dilakukan"

"Tiap-tiap hari ke makcik? " tanya saya lagi.

"Ye,setiap hari. Setiap kali masuk bilik , datanglah lalat. Satu perkara lagi , setiap kali Ros makan, dia pasti muntah ! Anaknya yang berada bersama suami saya di bilik sebelah selalu datang menghantar makanan untuk Ros. Tetapi setiap kali makanan , makciklah yang kenyang ! Sebab Ros akan muntah sebaik sahaja dia suap makanan tersebut"

"Kesiannya , kenapa berlaku macam ni ? Dia ada buat sesuatu kut ..."tanya saya tak sabar.

"Sabarlah dulu...Ada lagi. Setiap kali Ros pergi ke Masjidil Haram , dia pasti akan loya-loya dan muntah. Sehingga lemah badannya kerana tidak makan. Apa yang mampu dibuat , dikuatkan juga semangat untuk selesaikan rukun-rukun dan wajib haji sahaja. Selainnya , hanya terlantar di bilik. Dihurungi lalat..."

"Apa lagi yang berlaku makcik " tak sabar saya mendengar seterusnya.

"Makcik sangat hairan , bila kami pulang . Sebaik sahaja tiba di KLIA , Ros terus sihat dan dapat makan dengan baik. Bertenaga kembali....Alhamdulillah makcik tumpang bersyukur melihat keadaan dia. Kami pun pulang ke rumah masing-masing" intonasi makcik Siti semacam mengakhiri kisahnya.

"Alaa makcik , takkan ending macam itu sahaja... Lepas KLIA takde apa-apa berlaku ke ?" soal saya, masih tertanya-tanya di dalam hati , apakah punca keadaan Ros sepanjang di Mekah itu .

"Nak tahu lagi?? Em...selang beberapa hari, makcik hadir ke kelas yang selalu makcik hadiri sebagaimana biasa. Ustazah yang mengajar pada hari itu bertanya makcik ...."

"Dengar cerita , makcik satu group dengan Ros , macam mana keadaan di sana ?"sapa ustazah setelah selesai kelas kami dan pelajar lain telah balik.

Terkejut juga bila ditanya direct macam ni...Tidak tergamak untuk menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku. " Ros tidak berapa sihat , tak dapat makan , asyik muntah aje " Sengaja makcik tidak menyebut tentang lalat.

Ustazah menjelaskan " Sebenarnya , ini adalah kali ke 9 Ros ke Mekah , begitulah keadaannya setiap kali ke sana . Saya bertanya ni , bukan apa , cuma nak follow up pesanan seorang pakar rujuk ...."

"Kenapa ustazah ?? " tanya makcik Siti tercengang.

Tambah ustazah dalam nada yang agak terharu " Untuk pengetahuan , sebelum ini juga , Ros dihurung lalat di biliknya.Lalat tidak pergi ke katil jemaah lain , hanya memenuhi katilnya sahaja..."

"Ustazah , itulah yang berlaku di bilik kami. Tapi, saya segan nak ceritakan...takutlah membuka aib orang... Sebenarnya, kenapa berlaku perkara ni ustazah ?? Dia ada buat sesuatukah ??" tanya makcik Siti penuh minat.

" Ustaz , em...kita sambung lain kali boleh ??" makcik Siti semacam bergurau setelah melihat saya sangat minat menanti.

"Alaaa makcik ni , macam drama swasta la pula....ceritalah. Apa ustazah tu cakap ? Apa Ros buat? Ni mesti ada dosa ni..."jawab saya.

"Sebenarnya , Ros PERNAH MELETAKKAN BENDA-BENDA KOTOR DI DALAM MAKANAN ARWAH SUAMI DIA....UBAT PENUNDUK SUAMI.... yang menyedihkan , suami dia telah meninggal... Setelah kali pertama ke Mekah , berlaku perkara ni , dia telah bertaubat. Kata pakar rujuk , Ros mesti terus ke Mekah walaupun keadaan itu berulang. Sehinggalah keaadaannya menjadi normal...insya Allah itu petanda taubatnya diterima..." ustazah menceritakan dengan penuh nada insaf.

Innaa lillahi wa inna ilaihi roji'un.

Makcik Siti menceritakan pengalamannya ini direct kepada saya. Sekarang , kami berjumpa 2 kali sebulan dalam kelas muslimat , pengajian Riyadus Solihin yang saya kendalikan di sebuah masjid di sekitar Lembah Klang.

Semoga ada manfaatnya sedikit perkongsian ini.

Thursday, August 13, 2009

BERDOALAH DENGAN BAHASA SENDIRI


Di antara faktor penting agar doa kita mustajab,ialah keyakinan dan khusyu' ketika berdoa...Bagaimana mungkin seseorang boleh khusyu' sekiranya ia tidak memahami apa yang sedang ia pohon dengan Allah. Bagaimana kita mampu menghayati aduan dan munajat sekiranya tidak diketahui apa yang diungkapkan. Oleh itu , berusahalah memahami doa yang dipohon. Doa yang terbaik adalah daripada al-Quran dan ungkapan Rasulullah s.a.w ( sekiranya faham) .

Mungkin ada yang berkata, agak susah untuk menghafal doa-doa daripada al-Quran dan hadis, apatah lagi makna-maknanya. Justeru, berdoalah dengan bahasa anda sendiri. Alhamdulillah sedikit penglibatan saya dalam berkongsi ilmu dengan masyarakat, saya biasakan berdoa di hujung setiap pertemuan dan menterjemahkan doa tersebut . Feed back yang diperolehi amatlah positif. Kebanyakan hadirin menyatakan kegembiraan kerana dapat menghayati apa yang sedang diaminkan.

Di sini dikongsikan beberapa doa yang sangat baik untuk kita amalkan.

ربنا اغفرلنا ووالدينا وارحمهم كما ربونا صغارا

"Ya Allah , ampunilah dosa-dosaku , dosa kedua ibu bapaku ,
Kurniakanlah belas kasihanMu kepada mereka ,
sebagaimana mereka mengasihi kami ketika kami masih kecil,
Kepada ibubapa yang masih hidup,
Kurniakanlah kesihatan kepada mereka untuk beribadat kepadaMu,
Kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk berkhidmat menghiburkan hati mereka,
Kepada yang telah pergi meninggalkan kami,
Jadikanlah tempat persemadian mereka sebagai salah satu daripada taman-taman syurgaMu,
Tempatkanlah mereka bersama hamba-hambaMu yang soleh,

ربنا هب لنا من أزواجنا و ذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما

Ya Allah ,
Kurniakanlah kepada kami ,
Pasangan-pasangan , serta zuriat ,
Yang menjadi penyejuk hati kami ,
Jadikanlah pasangan kami sebagai pembantu kami untuk sentiasa taat kepadaMu,
Eratkanlah ikatan hati kami ,
Kekalkanlah ikatan kasih kami hingga ke FirdausMu Ya Allah...
Jadikanlah zuriat kami , zuriat-zuriat yang soleh ,
Lembutkanlah hati-hati mereka ,
Masukkanlah Nur hidayahMu ke dalam hati-hati mereka ,
Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka,
Jauhkanlah mereka dari kawan-kawan yang jahat,
JADIKANLAH MEREKA ZURIAT YANG BENAR-BENAR MENDOAKAN KAMI KETIKA KAMI BERADA DI DALAM KUBUR NANTI....

Ini sekadar sebahagian doa yang boleh kita amalkan .
Paling penting , berdoalah dengan bahasa sendiri, semoga kita bertambah khusyu' dan semoga diperkenankan , insyaAllah.

Wassalam.


Monday, August 3, 2009

PROCRASTINATION IS THE THIEF OF TIME

Memang benar pepatah inggeris tersebut , "sifat bertangguh adalah pencuri masa" !!
Bukan sekadar mencuri , bahkan merompak. Saya sendiri adalah mangsanya . Ketika ingin memulakan penulisan blog ini, kebimbangan saya adalah aspek nak update. Memang itulah yang belaku sekarang . Sekiranya ingin mencari alasan , memang pelbagai alasan boleh diberikan. Sememangnya , kelambatan nak update bukan kerana sengaja hendak bertangguh , tetapi ada priority-priority yang lain....seperti mengerjakan umrah pada Jun dan ke Seminar musim panas di Dubai pada Julai.

Apabila bermuhasabah bersendirian, satu persoalan bermain di kepala, adanya insan-insan yang merupakan tokoh agamawan kita yang jauh terlalu banyak komitmen dibandingkan dengan saya, tetapi dakwahnya di blog sentiasa di"updatekan"....bahkan tercetaknya buku-buku baru.Jika dibandingkan, kesibukan saya hanya di peringkat kindergarden dan kesibukannya seumpama pensyarah universiti. Dinilai pula insan-insan yang menghidupkan blognya untuk kepentingan selain dakwah,juga mampu mengaktifkannya setiap masa. Ya Allah , berkatilah masaku....Kurniakan kekuatan buatku , menyertai ruang berdakwah di alam maya ini.....

Samada kita bekerja, pelajar, surirumah, bekerja sendirian, atau siapa sahaja kita, janganlah bertangguh untuk melakukan kebaikan. Suatu hari, setelah mengimamkan solat, Rasulullah s.a.w segera bangun dan keluar dari masjid lantas menuju ke rumah baginda. Setelah beberapa ketika , baginda kembali , lantas para sahabat bertanya, ke manakah baginda pergi. Baginda menyatakan bahawa ada sedekah yang ingin diberikan , tetapi terlupa ketika sebelum solat tadi. Baginda tidak mahu melambatkannya....

Kadang-kadang, kita bersemangat untuk melakukan sesuatu. Untuk bertaubat...untuk bersedekah...untuk menulis...untuk menziarahi teman...untuk memulakan perniagaan...untuk membaca buku.....TIBA-TIBA ....menangguhkannya buat seketika....Hingga sekarng masih tidak terlaksana !! Semoga kita diberi kekuatan untuk bersyukur dengan anugerah masa lapang yang Allah kurniakan.

Sabda Rasulullah s.a.w "2 nikmat yang selalu manusia tidak menghargainya ; kesihatan dan masa lapang".

Wednesday, May 6, 2009

Saya Cukup Respect Dengan Semangat Akak..

Sekali sekala, saya bawa isteri bersama-sama di program yang saya hadiri. Dengan beberapa tujuan. Pertama, untuk refresh ilmu yang dia miliki. Kedua, untuk jadi R & D saya. Selalunya dalam perjalanan balik, giliran saya pula yang mendengar kuliah dia dalam kereta....komen , cadangan penambahan fakta dan idea. Ketiga, dan ini sebenarnya tujuan paling utama , untuk membina hubungan saya dengan hadirin dari kalangan wanita. Memang sewaktu saya hadir bersendirian , soal jawab dan hubungan wujud tetapi dengan kehadiran isteri, ia lebih berkesan.

Di sebuah surau , isteri menceritakan bahawa dia memerhatikan salah seorang jemaah wanita yang sedang khusyuk mendengar kuliah . Bukan itu sahaja , bahkan kakak dalam lingkungan akhir 40-an itu sentiasa mencatat di buku yang dibawanya . Di setiap halaman catitan itu pula , ada yang dihighlight dengan warna hijau , pink , kuning dan sebagainya...yang menunjukkan yang dia membacanya kembali selepas pulang.

Baca SELANJUTNYA
.

Kisah - Syaitan Pun Baca Al-Quran ??

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah yang menceritakan kisah yang berlaku ke atas dirinya....

"Rasulullah s.a.w telah menugaskan saya untuk menjaga zakat Ramadhan.Tiba-tiba datang seseorang lalu mengambil sebahagian daripada makanan tersebut, lalu saya menangkapnya dan mengancam untuk membawanya mengadap Rasulullah s.a.w. Ia merayu "Tolonglah , saya sangat memerlukan makanan ini, anak-anak dan isteri sedang menunggu..."Lalu saya pun membiarkannya pergi...

Baca SELANJUTNYA


.

Monday, March 9, 2009

ABU LAHAB SAMBUT MAULIDURRASUL

Apabila bulan Rabi'ul Awwal menjelma,umat Islam khususnya di Malaysia akan mula bersiap dengan pelbagai program bagi menyambut "Happy Birthday" Rasulullah s.a.w.Apakah hukum menyambutnya ? Bagaimanakah cara yang sepatutnya menyatakan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w? Apa perkara penting yang mesti di"highlight" di musim sambutan ini?Persoalan-persoalan seumpama ini sangat penting untuk difikirkan bersama.....

SEJARAH

Sebelum kita bincang lebih detail,eloklah kita merenung sejarah sejenak.Agar dapat diambil iktibar dari peristiwa-peristiwa lampau. Di saat kelahiran kekasih Allah, Muhammad s.a.w keluarga baginda gembira meraikannya. Di antara yang paling gembira, ialah bapa saudaranya yang bernama Abu Lahab. Dia telah memerdekakan hambanya, Tsuwaibah kerana terlalu gembira.Bahkan mengadakan kenduri besar-besaran dengan menyembelih unta. Memberitahu masyarakat tentang kelahiran anak saudaranya, Muhammad.

Baca SELANJUTNYA

.

Thursday, January 29, 2009

LAMAN HIDAYAH , RADIO SUARA ISLAM


SOALAN 1: Bertemu lagi kita di ruang udara. Bersama kita ketika ini , ustaz syed mohd norhisyam al-idrus , seorang pendakwah….Insya Allah pada kali ini, kita akan membincangkan tajuk yang sangat penting, berkait dengan setiap insan yang mengungkap 2 kalimah syahadah. Kita akan fokus kepada rangkap yang kedua , iaitu ( أشهد أن محمدا رسول الله ) .Buat permulaannya, boleh ustaz terangkan secara ringkas pengertiannya ?

JAWAPAN 1:

ان الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله و على اله وأصحابه ومن والاه , أما بعد

Sememangnya tajuk yang akan kita bincangkan ini sangat pentin. Memandangkan kalimah syahadah merupakan pintu masuk seseorang ke dalam agama Islam, maka setiap kita yang mengaku Islam mestilah memahaminya dengan sempurna, kemudian melaksanakan segala tuntutan yang berkait dengan ikrar ini. Sememangnya ungkapan syahadah adalah satu ikrar seseorang yang mengakui ketuhanan allah swt dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

( أشهد ) selalu diterjemahkan dengan, aku naik saksi. Sebenarnya terjemahan ini adalah betul , tetapi ia sesuai dengan zaman 80-an atau 70-an dahulu. Terjemahan yng lebih tepat dengan bahasa sekarang, adalah aku bersaksi, aku sanggup jadi saksi.

Contohnya, seorang lelaki membuka pintu rumahnya lalu terlihat sebuah kereta melanggar anak jirannya . Memang kereta itu yang bersalah. Lalu apabila jirannya meminta lelaki ini menjadi saksi di mahkamah, ia sanggup. Sanggup menjadi saksi kejadian tersebut kerana ia penuh yakin apa yang dilihatnya. Ini di sebut di dalam bahasa arab , أشهد . Demikianlah, seseorang itu sanggup menjadi saksi dengan penuh yakin, bahawa memang sah, nabi Muhammad s.a.w adalah utusan Allah untuk membimbing manusia ke arah bahagia di dunia dan akhirat. Kalau kena berhujjah pun, masih sanggup kerana ia telah yakin sepenuhnya, berdasarkan ilmunya tentang Rasulullah.

Ikuti SOALAN SELANJUTNYA

.

Thursday, January 22, 2009

Jom derma RM 1 kepada Yahudi !!

2 malam yang lalu, saya menyampaikan kuliah maghrib di Masjid al-Amin , Bandar Tun Hussein Onn berkenaan beberapa sifat buruk Bani Israel dalam kisah Nabi Musa menyuruh mereka sembelih lembu ( surah al-Baqarah , ayat 67-73 ).

Di hujung kuliah tersebut , saya meminta persetujuan para jemaah yang hadir untuk masing-masing menderma sebanyak RM 1 setiap seorang untuk Palestin . Semuanya bersetuju dengan penuh semangat. Apabila saya bagitahu sumbangan ini adalah untuk Yahudi di Palestin , jemaah yang berjumlah lebih kurang 80 orang itu agak terkejut dan terpinga-pinga. Kemudian dengan tegas salah seorang berkata tidak setuju . Diikuti yang lain-lain. Semua tidak setuju !!

"Saya ingin sampaikan berita baik kepada para PEROKOK , anda sedang menyumbang kepada Yahudi setiap kali anda membeli rokok !! Semua tak setuju untuk derma kepada Yahudi . Hanya sekali pun tak setuju !! Tetapi ada di kalangan kita yang setiap hari membeli rokok. Ini bermakna ia menyumbang kepada Yahudi setiap hari !! Anda menyumbang sebahagian kos untuk membeli peluru dan bom untuk membunuh saudara anda sendiri !!" saya membuat kesimpulan...

Ada yang tersenyum. Ada yang tengok kepada sahabat di sebelahnya. Ada yang mencubit temannya . Jemaah wanita , lebih kurang 20 orang mengangguk-angguk sambil tersenyum....

ESOK , 2pm, DI RADIO KLFM... cinta...


Kepada yang ada kelapangan masa, dijemput mendengar perbincangan berkenaan CINTA di radio KLfM jam 2 petang esok (Jumaat, 23 Jan 09), bersama saya.

Sebarang ulasan dan komen anda amat dialu-alukan.

INVESTMENT...Profit selepas mati

Apabila seorang jemaah haji bersiap untuk ke Mekah , bekalan paling penting bagi setiap mereka adalah memastikan Rial Saudi mencukupi bagi tempoh mereka berada di sana. Kepada yang melancong ke Amerika, pastikan bekalan US dollar sesuai dengan masa dan urusan di sana. Begitu juga yang ke Jepun, Yen di dalam poket mestilah cukup.

Bila berada di Jepun, Ringgit Malaysia tidak laku . Dengan Rial Saudi pula, tidak mampu membeli apa-apa ketika berada di Amerika. Demikianlah currency di dunia ini.

Satu persoalan, apakah bekal yang perlu kita bawa untuk selepas mati? Semua manusia pasti mati. Yang kaya mati, yang miskin mati. Orang sakit mati, doktor pun mati. Apakah matawang yang laku urusniaganya di alam selepas mati? Islam mengajar kita, hanya PAHALA yang laku selepas mati nanti.

Dengan PAHALA , seseorang boleh shopping apa sahaja di alam selepas mati. Buah-buahan, makanan yang enak, tempat menginap yang sangat selesa, bidadari-bidadari dan segala nikmat yang sekiranya kita mampu bayangkan, pastinya bukan sehebat yang kita mampu bayangkan. Nabi Muhammad s.a.w menyatakan, selagi manusia boleh bayangkan, maka itu bukanlah nikmat yang dimaksudkan, kerana nikmat di alam selepas mati tidak mampu untuk manusia bayangkan.

BACA SELANJUTNYA

.